Pages

Adab-adab berdoa

Setiap ibadat mempunyai cara dan adab yang tersendiri termasuklah berdoa. Adab dan kaifiat berdoa itu sangat penting sebagai wasilah doa menjadi mustajab. Berdoa adalah suatu ibadat yang mempunyai peraturan yang seharusnya diikuti. Bahkan untuk memohon sesuatu dari makhluk sekalipun ada tatacara dan kaedah yang tertentu supaya suatu permohonan diterima. Demikian juga memohon dari Allah s.w.t pencipta sekalian makhluk lebih-lebih lagi perlu dengan adab dan kaifiat yang tertentu agar doa yang dipanjatkan dimakbulkan olehNya. Adab-adab berdoa adalah seperti berikut:

  1. Keadaan bersih diri sebaik-baiknya berwuduk, bersih pakaian dan tempat serta menutup aurat.
  2. Dalam keadaan khusyuk dan rasa rendah diri kepada Allah serta menghadap kiblat.
  3. Merendahkan suara dan tidak mengganggu orang lain.
  4. Jangan menggunakan lafaz berdoa yang bersajak.
  5. Yakin bahawa doa yang dipohon itu diperkenankan oleh Allah s.w.t.
  6. Mengulang-ulangkan ungkapan doa yang penting di tempat-tempat tertentu.
  7. Memulakan dengan pujian kepada Allah dan selawat ke atas Nabi s.a.w dan juga mengakhiri dengan pujian keapada Allah serta berselawat.
  8. Beristighfar (bertaubat) sebelum berdoa.
  9. Hendaklah memahami isi kandungan dan maksud doa yang dilafazkan.
  10. Bukan doa yang bertujuan maksiat dan dosa atau memutuskan silaturahim serta jangan memohon segera dimakbulkan doa tersebut.
  11. Memulai doa dengan memohon keampunan dosa diri sendiri yang telah dilakukan, kemudian untuk saudara-saudara muslimin yang beriman.
  12. Hendaklah dengan penuh perasaan, pengharapan dan jangan sesekali mengatakan " Ya Allah, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, rahmatilah aku sekiranya Engkau inginkan.
  13. Mengangkat kedua-dua tangan sehingga ke paras bahu seperti yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.
  14. Menadah tapak tangan ke langit dan sekiranya meminta perlindungan, tapak tangan mengarah ke bawah.
  15. Beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan mematuhi segala suruhanNya serta menjauhi segala laranganNya.
  16. Tidak berputus asa dengan segala doa yang telah kita pohonkan walaupun setelah sekian lama kita berdoa.
  17. Doa hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dengan rasa yakin akan terkabulnya doa tersebut sama ada cepat atau lambat. (Sabda Nabi yang bermaksud: "mintalah kepada Allah sedang kamu yakin terkabulnya. Dan ketahuilah bahawa Allah tidak memakbulkan doa daripada hati yang lalai lagi bimbang"-Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)
  18. Berdoa dengan kalimah yang ringkas, jelas dan meliputi maksud yang dihajatkan.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...