Pages

Perubatan



Hikmah Al-Quran



Al-Quran adalah suatu mukjizat yang diturunkan kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang terkandung di dalamya petunjuk dan panduan buat umat manusia bagi menjalani kehidupan agar bersesuaian dengan landasan syarak serta menepati kehendak dan perintah Allah s.w.t. Antara kandungan Al-Quran juga adalah ayat-ayat yang berupa penawar dan penyembuh untuk berbagai jenis penyakit. Firman Allah s.w.t:
"Dan Kami turunkan Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian"
Surah Al-Isra' : 82


Jika kita lihat pada akhir-akhir ini perubatan islam boleh dikatakan sangat popular dikalangan masyarakat bahkan ramai juga antara kita lebih berkeyakinan dengan kaedah perubatan islam melebihi perubatan moden. Namun malangnya masih ramai yang belum mengetahui dengan jelas tentang perubatan islam berbanding perubatan tradisional lain dan beranggapan ia adalah sebahagian dari perubatan islam. Kita sewajarnya perlu lebih berhati-hati dan mengetahui apakah ciri-ciri sebenar perubatan islam agar tidak tertipu dengan dakwaan sesetengah pihak yang melabelkan sesuatu kaedah perubatan itu adalah benar-benar perubatan islam, tidak mengandungi unsur-unsur khurafat dan sihir, serta tidak melibatkan bantuan jin dan sebagainya. Berubat dengan kaedah tradisional seperti mengunakan mantera yang tidak boleh difahami, memanggil roh atau semangat, menggunakan bantuan jin dan sihir serta khurafat mempunyai banyak kesan buruk yang boleh memudaratkan pesakit sama ada dari sudut jasmani atau rohani. Apa yang lebih dikhuatiri adalah bila mana ia melibatkan aqidah. Perlu diingat bahawa perbuatan islam yang sebenar tidak akan menjadikan seseorang pesakit itu sesat dan kufur kepada Allah (wal'iyazubillah).


Islam sama sekali tidak menolak perubatan tradisonal selagi mana ia berlandaskan syariat. Demikian juga islam tidak menolak perubatan moden selagi mana tidak menggunakan sesuatu yang haram atau berunsur syubhah. Kedua-dua perubatan ini adalah baik dan memberi banyak manfaat. Ia saling berkait kerana usaha untuk mendapatkan kesembuhan itu tidaklah seharusnya dengan satu cara sahaja bahkan kaedah perubatan itu sangat banyak. Tetapi harus juga diingat usaha manusia adalah terbatas berbanding kehendak dan takdir Allah s.w.t. Maka berubatlah dengan apa cara sekalipun dengan pengharapan dan doa kepada Allah s.w.t kerana penyakit itu datangnya dari Allah dan Allah jualah yang memberi kesembuhan.


Bila mana kita ditimpa penyakit maka hendaklah berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah supaya diberikan kesembuhan. Penyakit sesekali Allah datangkan berupa ujian untuk menguji hambaNya dan juga datang berupa kifarah di atas dosa-dosa yang telah kita perbuatkan. Ia juga datang berupa bala dan kadang-kadang datang sebagai nikmat. Penyakit adalah bala bila mana sesorang itu ingkar kepada perintah Allah s.w.t, mengerjakan yang mungkar dan meninggalkan yang makruf. Ia menjadi nikmat kerana mengingatkan kita kepada Allah dan mendidik kita supaya bersabar lalu dikurniakan pahala dengan berkat kesabaran tersebut. Diwaktu sihat kita sering kali lupa kepada Allah, lupa kepada amal ibadat, lupa kepada mati dan hari pembalasan, maka didatangkan sakit sebagai peringatan agar kita sedar bahawa nikmat kesihatan itu milik Allah dan Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa yang Dia kehendaki.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...